XI GROUP  |  Xi Fertility & Women’s Health TCM Center

Menopaus

Apakah itu Menopaus ?

Menopaus adalah keadaan yang lazimnya akan dialami oleh semua wanita apabila usia mereka meningkat.

Bayi perempuan dilahirkan dengan bilangan telur yang terhad dalam ovari mereka. Ovari juga menghasilkan hormon estrogen dan progesteron yang mengawal kitaran haid dan ovulasi. Menopaus berlaku apabila ovari tidak lagi mengeluarkan telur setiap bulan dan kitaran haid mula terhenti. Sesetengah orang menganggap bahawa menopaus merujuk kepada tahun-tahun yang dilalui sebelum haid terakhir, namun jangka masa yang dinyatakan itu sebenarnya ialah fasa peralihan menopaus atau dikenali sebagai perimenopaus.

Ketika fasa peralihan menopaus (perimenopaus), haid anda mungkin berhenti seketika dan kemudiannya kembali bermula. Oleh itu, satu-satunya cara untuk mengetahui bahawa anda telah mengalami menopaus adalah apabila anda tidak datang haid selama satu tahun. Purata umur wanita ketika menopaus ialah 51 tahun, namun bagi sesetengah wanita, ia berlaku seawal usia 40 tahun atau selewat-lewatnya pada usia 55 tahun. Selepas menopaus dialami, anda dianggap sudah memasuki fasa pasca-menopaus dalam hidup anda. Hormon wanita anda tidak akan naik dan turun lagi sepertimana yang berlaku dalam kitaran haid. Sebaliknya, hormon ini akan kekal pada tahap yang sangat rendah.

Simptom-simptom Menopaus

Menopaus memberi kesan yang berbeza terhadap setiap wanita. Sesetengah wanita tidak menunjukkan sebarang simptom, manakala sesetengahnya pula mengalami perubahan yang ketara dalam beberapa aspek kehidupan mereka.

‘Hot Flashes’ – rasa hangat secara tiba-tiba yang dirasai pada bahagian atas tubuh, lazimnya disertai dengan kulit merah dan berpeluh.

Insomnia & Berpeluh Malam – Anda mungkin sukar untuk tidur nyenyak dan mungkin berpeluh pada waktu malam. ‘Hot flashes’ boleh membuatkan anda berpeluh-peluh semasa tidur.

Perubahan Libido – Sesetengah wanita mungkin kurang berminat terhadap seks kerana hubungan seks mungkin menyebabkan ketidakselesaan.

Kitaran Haid Yang Tidak Teratur – Haid anda mungkin datang lebih kerap atau kurang kerap, berlarutan lebih lama atau berakhir dalam masa yang singkat, dengan pendarahan yang mungkin sedikit atau lebih banyak.

Perubahan Mood – kemurungan, cepat marah atau mudah menangis. Jika anda pernah mengalami perubahan mood sebelum datang haid bulanan atau jika anda mengalami kemurungan selepas bersalin, anda mungkin akan mengalami lebih banyak gangguan mood dalam fasa perimenopaus.

Sakit otot dan sendi – Tulang anda mungkin menjadi nipis dan lebih rapuh. Ini boleh mengakibatkan ketinggian badan berkurangan dan membawa risiko patah tulang.

Masalah berkaitan faraj dan saluran kencing – Sesetengah wanita mungkin terasa sukar untuk menahan kencing sebelum sampai ke tandas (keadaan ini dipanggil inkontinens terdesak). Air kencing juga mungkin bocor ketika anda bersin, batuk atau ketawa.

Perubahan lain – mudah lupa, sukar menumpukan perhatian.

TCM dan Menopaus

Menurut teori Perubatan Tradisional Cina (TCM), simptom menopaus boleh menjadi agak sukar untuk difahami, namun pada dasarnya ia berpunca daripada kekurangan “Yin Buah Pinggang”. Istilah ini sering digunakan apabila kita merujuk kepada proses penuaan lelaki dan juga wanita. “Sistem buah pinggang” berperanan mengawal proses penuaan manusia dan elemen penting di dalamnya boleh kehabisan atau berkurangan dengan mudah. Dari aspek TCM, sistem buah pinggang mengawal tenaga yin dan yang serta proses pertumbuhan, perkembangan dan penuaan. “Yang” melambangkan tenaga pergerakan yang juga mewakili waktu siang dan kepanasan. “Yin” melambangkan tenaga ketenangan, waktu malam dan kesejukan. Tekanan dan penuaan berpotensi menjejaskan keseimbangan yin, seterusnya mengakibatkan simptom-simptom perimenopaus seperti berpeluh malam dan insomnia. Menopaus juga boleh dizahirkan sebagai kekurangan tenaga yang buah pinggang. Jika masalah ini berlaku, tahap tenaga yin dan juga yang perlu ditingkatkan dan diseimbangkan semula.

Terapi TCM

Selain menyebabkan simptom-simptom yang tidak selesa, tidak dapat dinafikan bahawa menopaus akan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan sesetengah wanita. Namun demikian, dari perspektif TCM, terdapat banyak cara untuk merawat simptom menopaus tanpa menjejaskan kesihatan dan gaya hidup aktif anda.

Akupunktur – Akupunktur membantu menyeimbangkan tenaga, meningkatkan tahap tenaga apabila diperlukan, dan ‘membuang’ tenaga yang terlalu banyak dan tidak dapat dialirkan ke mana-mana. Akupunktur bertindak secara terus pada organ sasaran anda. Oleh itu, akupunktur boleh digunakan untuk mengatasi masalah buah pinggang dan hati yang dikaitkan secara langsung dengan simptom menopaus.

Formula Herba – Formula herba boleh membawa kesan yang sangat besar tanpa bergantung pada kuantiti bahan-bahan di dalamnya. Oleh itu, sesuatu kombinasi herba yang tertentu berpotensi memberi kesan yang ketara terhadap sistem tubuh. Pengamal TCM lazimnya akan mengubah suai sesuatu formula herba bagi memenuhi keperluan pesakit, atau mengubahnya apabila sesuatu perubahan terhadap badan dapat diperhatikan.

Dalam erti kata lain, formula perubatan disediakan mengikut keperluan setiap individu yang tersendiri. Sebagai contoh, beberapa wanita yang mengalami hot flashes mungkin akan menerima formula herba yang berbeza mengikut keperluan keseluruhan individu tersebut. Preskripsi yang diberikan tidak disasarkan pada simptom, sebaliknya dirumus khas mengikut keadaan pesakit yang khusus dan keperluan keseluruhannya.

Pengamal TCM dapat membantu anda menyusun pelan makanan yang khusus untuk memenuhi keperluan anda, di samping menyediakan kaedah alternatif semula jadi yang selamat untuk menggantikan terapi hormon Barat dalam penjagaan menopaus.