Keguguran Terancam
Sebarang pendarahan faraj yang berlaku semasa awal kehamilan boleh dianggap sebagai keguguran terancam.
Keguguran merujuk kepada kehamilan yang berakhir sebelum minggu ke-28. Keguguran terancam ditakrifkan apabila berlaku pendarahan dan ada kalanya sakit abdomen, namun kehamilan dapat diteruskan seperti biasa.
Pendarahan faraj agak biasa dialami semasa kehamilan dalam kalangan wanita yang mampu meneruskan kehamilan hingga cukup bulan dan menjalani proses kelahiran tanpa sebarang masalah. Walau bagaimanapun, pendarahan faraj pada bila-bila masa semasa kehamilan mungkin menandakan sesuatu masalah. Pendarahan yang dikaitkan dengan keguguran terancam lazimnya ringan dan tidak menyakitkan.
TCM dan Keguguran
Konsep mengenai kesan umur terhadap kesuburan telah dibincangkan secara ekstensif dalam perubatan Cina. Penuaan menyumbang kepada kemerosotan fungsi pembiakan. Ini bermakna kualiti elemen-elemen penting yang diperlukan untuk membentuk janin (sel sperma dan sel telur) akan terjejas hingga mengganggu keupayaan janin untuk berkembang menjadi embrio yang sihat. Akibatnya, kadar kemandulan dan keguguran kian meningkat apabila usia kian lanjut.
Langkah-langkah yang diambil untuk meningkatkan kesihatan ibu dan juga bapa sebelum kehamilan dapat membantu memastikan agar sperma, telur dan persekitaran untuk perkembangan janin dapat dioptimumkan bagi menghasilkan kehamilan yang sihat. Oleh itu, rawatan pencegahan untuk gamet (sperma dan telur) adalah penting bagi mengurangkan risiko kecacatan janin. Keberkesanan rawatan ini lebih mudah dicapai pada lelaki kerana sperma dihasilkan secara berterusan. Walau bagaimanapun, kesihatan dan perkembangan folikel wanita boleh dipengaruhi oleh pengambilan ubat herba Cina dan penggunaan akupunktur supaya telur yang lebih matang dapat dibebaskan untuk disenyawakan.
Rawatan TCM untuk keguguran berulang
Perubatan Cina berpotensi memainkan peranan yang sangat penting bagi mengatasi episod keguguran berulang kerana ia mampu mengesan sebarang kelemahan yang mungkin dihadapi oleh salah seorang atau kedua-dua pasangan. Dengan membetulkan kelemahan ini, perubatan Cina akan memastikan agar persekitaran dalaman dapat dioptimumkan untuk menyokong kehamilan yang akan datang. Kaedah ini bermanfaat terutamanya apabila terdapat sumber gangguan haid yang perlu dikawal, contohnya kewujudan ovari polisistik atau endometriosis, kerana penghasilan hormon yang berkurangan dari ovari semasa hamil boleh membahayakan perkembangan janin.
Dalam kes kehamilan yang berisiko (sejarah kemandulan atau keguguran terdahulu), wanita mungkin diminta supaya meneruskan pengukuran bacaan suhu basal (BBT) dalam masa beberapa minggu pertama kehamilan. Kaedah ini dapat membantu menjana maklumat penting mengenai kawalan hormon dan membolehkan anda memantau elemen Yang Buah Pinggang (pengekalan suhu tinggi yang stabil), iaitu penunjuk penting mengenai kestabilan kehamilan. Jika berlaku penurunan suhu, herba perlu diberikan untuk menyokong fungsi ovari.