TCM dan Kesuburan
Dengan menggunakan kombinasi Rawatan Herba dan Akupunktur, Perubatan Tradisional Cina (TCM) dapat membantu meningkatkan kesuburan individu, seterusnya meningkatkan peluang untuk hamil sama ada secara semula jadi ataupun melalui Rawatan Kesuburan.
Matlamat utama Terapi Perubatan Cina ialah:
- Merangsang fungsi ovari
- Menguatkan sistem imun dan mengurangkan tekanan
- Meningkatkan kualiti & kuantiti sperma
- Memperbaiki amalan pemakanan & gaya hidup
Jika anda sudah setahun mencuba untuk hamil tanpa sebarang tanda bahawa usaha anda akan berjaya, anda mungkin menghadapi kesukaran untuk hamil. Dalam istilah perubatan, keadaan ini dirujuk sebagai subfertiliti (kurang subur). Subfertiliti boleh dikategorikan sebagai primer atau sekunder. Subfertiliti primer bermakna anda belum pernah hamil sebelum ini. Subfertiliti sekunder bermakna anda pernah melalui kehamilan hingga cukup bulan, keguguran atau kehamilan ektopik pada masa lalu, dan sekarang sukar untuk hamil selepas setahun mencuba sejak kehamilan terakhir anda.
Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyumbang kepada masalah subfertiliti. Menurut perubatan barat, faktor-faktor seperti masalah ovari, tiub fallopion, rahim dan serviks boleh menjadi punca subfertiliti. Menurut Perubatan Cina pula, untuk membolehkan persenyawaan berlaku, elemen-elemen penting seperti yin, yang, qi, darah dan buah pinggang perlu berada dalam keadaan harmoni. Subfertiliti lazimnya berlaku apabila salah satu elemen ini tidak seimbang. Oleh itu, walaupun Perubatan Cina mengguna pakai falsafah yang berbeza untuk menerangkan perkara yang berlaku, ia sebenarnya berperanan sebagai pelengkap kepada rawatan Barat bagi membantu mengatasi masalah subfertiliti.
Berikut adalah beberapa kategori subfertiliti menurut amalan Perubatan Cina:
(1) Keadaan Kekurangan
(a) Kekurangan Darah & Yin
Keadaan ini menimbulkan pelbagai masalah berkaitan telur, contohnya kegagalan telur untuk disenyawakan, telur yang telah disenyawakan tidak berupaya melekat pada dinding rahim dan berkembang, atau ketiadaan telur.
(b) Kekurangan Qi & Yang
Keadaan ini dikaitkan dengan tenaga yang tidak mencukupi untuk mengaktifkan rahim hingga mengakibatkan telur gagal untuk disenyawakan, atau telur yang telah disenyawakan tidak berupaya melekat pada dinding rahim dan berkembang
(2) Keadaan Berlebihan
Faktor-faktor patogenik seperti sejuk, panas, kahak dan kelembapan, aliran qi yang tidak lancar dan stasis darah akan memberi kesan negatif terhadap rahim dan menyumbat tiubnya. Ini menyebabkan persenyawaan sukar berlaku.
Rawatan TCM dan IVF
Persenyawaan Pre-In-Vitro (IVF)
Protokol rawatan ini melibatkan akupunktur sebanyak dua atau tiga kali seminggu selama 4-6 minggu sebelum rawatan IVF dimulakan. Rawatan ini bertujuan untuk meningkatkan bekalan darah kepada rahim dan ovari. Ia membantu merangsang penghasilan folikel yang sihat dan meningkatkan kemungkinan implantasi.
Semasa IVF (Rangsangan ovari)
Rawatan ini bertujuan untuk mengurangkan kesan-kesan sampingan yang diakibatkan oleh rawatan IVF seperti kembung perut, insomnia, keresahan, perubahan mood, kelesuan, rasa hangat secara tiba-tiba dan sebagainya.
Akupunktur selepas pengumpulan telur
Prosedur akupunktur selepas pengumpulan telur dapat membantu pemulihan badan dan mengurangkan kesan sampingan disebabkan penggunaan ubat bius.
Pemindahan embrio sebelum/selepas akupunktur
Akupunktur yang dilakukan sekitar masa pemindahan embrio telah terbukti secara perubatan mampu meningkatkan peluang kehamilan sehingga 65% (British Medical Journal, 2008). Setakat ini, kaedah ini merupakan salah satu rawatan yang paling berkesan untuk meningkatkan peluang kehamilan.
Rawatan Kehamilan Awal
Melibatkan akupunktur yang dilakukan dua kali seminggu dengan kombinasi pengambilan herba selama 12 minggu pertama kehamilan. Rawatan ini bertujuan untuk meningkatkan pengaliran darah ke rahim dan menguatkan sistem imun.
Peningkatan Sperma
Melibatkan akupunktur serta rawatan herba untuk mengatasi masalah berkaitan sperma. Prosedur ini dapat membantu menambahkan bilangan sperma, meningkatkan keupayaan pergerakan sperma dan mengurangkan bilangan sperma yang tidak normal.